Karangan
Gejala Sosial
Pada alaf globalisasi dan modenisasi
ini, gejala social sentiasa menghiasi lembaran akhbar.Gejala social yang
semakin meruncing telah menggusarkan masyarakat. Fenomena ini diibaratkan duri
dalam daging dalam social kita. Kenapa pembangunan mentaliti rakyat tidak
selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga penyakit social sentiasa
menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Tampaknya, masalah
gengterisme, vandalisme, samseng jalanan, pembuangan bayi, remaja lari dari
rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Walhal, peranan
keluarga amat signifikan untuk mengekang masalah remaja.
Salah satu peranan institusi keluarga
adalah ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka
sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan
moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang segala godaan maksiat. Senario
ini dapat membantu anak-anak mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial.
Sebagai contoh, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau menghantar
mereka ke sekolah agama. Ketua keluarga perlu membimbing anggota keluarga untuk
menjalankan solat dan mengaji kitab. Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat
membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh
sebagai pedoman hidupnya.
Selain itu, ibu bapa juga
bertanggungjawab untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah
mengawasi tingkah laku anak mereka samada di sekolah mahupun di luar kawasan
sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana banyak pengaruh luaran seperti
pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan
pantang dicabar. Jika rakan sebaya mereka tidak berperibadi mulia, remaja yang
setahun jagung dan darah setampuk pinang
pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak,
berlumba haram, dan sebagainya. Lantarannya, pergaulan anak tidak boleh
dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain, ibu bapa perlu mewujudkan
keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak yang mulia sehingga
berjaya.
Tidak dapat disangkal lagi, bahawa
ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan teladan yang
baik kepada anak-anak. Suri teladan ibu bapa mampu membentuk sahsiah anak-anak.
Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa apa sahaja yang dilihatnya.
Bak kata peribahasa, ‘’bagaimana acuan begitulah kuihnya’’ Ibu bapa perlu
menjauhi kegiatan negatif seperti merokok, minum alkohol, mengakses laman web
lucah dan lain lain. Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang perlu
dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik,
materialistik, dan bongkak akan mencanai generasi muda yang berakhlak biadab dan
berbudaya sumbang.
Dalam pada itu, kasih sayang yang
sempurna amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu, ibu bapa wajar
memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kejadian ini berlaku
kerana anak anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh dengn
gejala sosial. Ibu bapa perlu sentiasa melayani anak mereka bagai menatang
minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya membelai dan mengucapkan
kata-kata sayang kepada anak-anak mereka .Sementalahan, ibu bapa perlu
memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau
melakukan perkara yang betul. Dengan itu anak-anak akan merasa gembira dan
seronok berada di rumah bersama-sama keluarga mereka. Mereka pon sanggup
meluahkan isi hati ketika mengalami kemushkilan kerana ibu bapa mereka bersedia
mendengar rintihan jiwa mereka. Ternyata keluarga yang harmoni berdominan untuk
membanteras kegiatan negatif.
Di samping itu, setiap ahli keluarga
juga perlu sentiasa berkongsi masalah. Ibu bapa harus sentiasa bertanyakan
masalah anak-anak. Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan
masalah yang dihadapi sebagai contoh ibu bapa perlu meluangkan masa untuk
membantu masalah pembelajaran anak-anak Sebaliknya anak-anak perlu memahami tanggungjawab
dan memahami bebanan ibu bapa mereka. Anak –anak perlu sentiasa membantu ibu
bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekana mereka. Dengan itu,
setiap anggota keluarga akan berasa diri mereka diberikan perhatian oleh ahli
keluarga yang lain. Aktiviti kelurga seperti gotong-royong dan hari keluarga
patut diadakan dari semasa ke semasa supaya mengeratkan silaturrahim
sekeluarga.
Secara tuntasnya, segala langkah di
atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli
keluarga seperti ibu bapa, abang, dan kakak. Slogan “keluagaku, syurgaku”, dan
“Semakin hari semakin sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya
melahirkan masyarakat madani dan sakinah.
No comments:
Post a Comment